Pages

Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

 





Apakah itu Rancangan Pengajaran Harian (RPH)?

Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu rekod khas yang disediakan lebih awal oleh guru sebelum menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Rancangan Pengajaran Harian ini dibina sebagai panduan kepada para guru untuk mengajar dengan lebih sistematik dan efektif serta mampu untuk mencapai objektif pengajaran. Dokumen ini sangat penting dan berguna supaya guru dapat menyampaikan input pembelajaran kepada para murid dengan teratur. Selain itu RPH adalah bahan bukti bahawa guru telah membuat perancangan rapi terlebih dahulu sebelum melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di blik darjah. Rancangan Pengajaran Harian yang dibina perlu merujuk kepada Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT), Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP). Maklumat yang perlu dicatatkan dalam RPH adalah hari dan tarikh,mata pelajaran dan kelas, masa, tajuk dan objektif, kemahiran yang ingin dicapai, aktiviti yang dijalankan serta impak atau refleksi. Guru boleh merujuk kepada SURAT PEKELILING IKHTISASBIL. 3/1999 bagi tujuan penyediaan RPH untuk memenuhi keperluan pekeliling tersebut. Terdapat perbezaan format RPH yang perlu disediakan oleh Guru Pelatih dengan Guru Terlatih. Guru Pelatih menggunakan format RPH yang lebih mendalam. Setiap institusi latihan perguruan mempunyai format yang tertentu bagi penyediaan RPH oleh guru pelatih masing-masing.

 

Kepentingan RPH

  • Menentukan serta memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai.
  • Meningkatkan keyakinan diri guru sebelum masuk mengajar.
  • Mengelak sebarang penyelewengan atau terkeluar daripada perkara yang hendak diajarkan.
  • Menentukan isi yang cukup untuk disampaikan dalam masa yang diperuntukkan.
  • Menentukan strategi atau aktiviti yang terbaik bagi menyampaikan isi pelajaran yang bersesuaian dengan murid.
  • Menggunakan masa pengajaran secara optimum melalui strategi yang lebih tersusun dan bersistem.
  • Merancang penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai.
  • Mengembangkan pengajaran secara lancar dan tersusun.
  • Mengehadkan skop yang akan diajar dalam sesuatu jangka waktu.
  • Membantu guru mengingat bahan dan pendekatan pengajaran yang perlu untuk menyampaikansesuatu isi pelajaran.


Apakah elemen yang perlu ada dalam Rancangan Pengajaran Harian?

·         Kumpulan sasaran (Kelas)

·         Tarikh dan masa

·         Mata pelajaran

·         Tema & Tajuk

·         Bidang pembelajaran

·         Hasil pembelajaran: kognitif, psikomotor dan afektif

·         Konsep utama

·         Bahan, peralatan dan bahan sumber.

·         Stratigi/ aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

·         Penaksiran dan penilaian pembelajaran