Kementerian Pendidikan Malaysia (1992) menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bilik darjah ialah suatu persekitaran pembelajaran yang meliputi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Bilik darjah yang ada di sekolah-sekolah di Malaysia biasanya memuatkan sehingga 40 orang murid pada sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran.
Mok Soon Sang (2004) mengatakan bahawa maksud pengurusan bilik darjah adalah salah satu keupayaan guru mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti membersihkan bilik darjah dan menyusun meja kerusi, mengurus murid-murid supaya mematuhi peraturan bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, mengurus bahan-bahan pengajaran supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan dan mengurus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan mengikut rancangan.
Pengurusan bilik darjah juga bolehlah dimaksudkan sebagai tindakan serta strategi guru untuk mengekalkan peraturan kelas, mewujudkan kelas yang kondusif, memastikan rutin kelas berjalan lancar, menghadapi tingkah laku murid serta dapat menarik perhatian murid kepada pembelajaran.
Justeru itu, menguruskan bilik darjah yang mempunyai bilangan murid yang ramai bukanlah satu tugasan yang mudah. Murid-murid yang belajar di dalam suatu bilik darjah terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat dan mempunyai pelbagai karenah. Guru yang gagal mengurus bilik darjah dengan baik tidak akan dapat menyampaikan pengetahuan dan menanamkan kemahiran yang diperlukan oleh murid. Oleh itu, keupayaan guru dalam keberhasilan menguruskan kurikulum bilik darjah akan memberikan kesan yang maksimum kepada murid untuk menguasai pelajaran mereka.